Sunday 17 July 2011

Habbatus Sauda Buat Si Kecil.. 4 Khasiatnya


Habbatus Sauda atau Black Seed atau Nigella Sativa merupakan makanan kesihatan yang menjadi amalan sejak dahulu kala. Tidak terhad sebagai makanan kesihatan, Habbatus Sauda juga sering digunakan dalam bidang perubatan tradisional Timur Tengah. Kini setelah pelbagai kajian dilakukan, masyarakat dunia kian mengiktiraf Habbatus Sauda serta khasiatnya.

Dalam tempoh pembesaran, si kecil sememangnya memerlukan makanan berkhasiat yang boleh kesihatan tubuh badan. Selain pengambilan karbohidrat, protien, kalsium serta pelbagai nutrisi penting yang lain, Habbatus Sauda juga merupakan salah satu makanan berkhasiat yang amat sesuai bukan sahaja buat si kecil malah untuk orang dewasa. Berikut merupakan empat kebaikan Habbatus Sauda buat si kecil;

1. Anti Alergi
Si kecil yang mengalami asma, alahan ataupun alergi sememangnya kekurangan imunisasi dalam tubuh. Masalah ini pastinya membataskan aktiviti buat si kecil. Menurut kajian yang dilakukan oleh Nirmal Chakravaty MD pada tahun 1993 menunjukkan bahawa Habbatus Sauda mengandungi Nigellone yang berupaya mengurangkan alahan serta asma. Dr. Med Peter Schleincher dari Munich University juga telah melakukan kajian dengan memberikan minyak Habbatus Sauda kepada 600 penghidap asma. Kesannya, hampir 70% daripada penghidap tersebut sembuh sepenuhnya.

2. Meningkatkan Daya Ingatan
Si kecil memerlukan daya konsentrasi serta ingatan yang tinggi terutamanya dalam tempoh-tempoh pembelajarannya. Habbatus Sauda mengandungi Omega 6 dan Omega 3 yang tinggi sekaligus menjadikannya sebagai salah satu nutrisi yang sesuai bagi menjana sel otak bagi meningkatkan daya ingatan serta kecerdasan minda si kecil. Di samping itu, Habbatus Sauda juga mampu melancarkan perjalanan darah ke otak si kecil.

3. Anti Bakteria
Kanak-kanak pada masa kini begitu mudah terdedah pada pelbagai jenis penyakit serta jangkitan kuman dan bakteria  yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit yang merbahaya. Minyak Habbatus Sauda mengandungi Volatile yang sememangnya terbukti berkesan bagi melancarkan sistem pencernaan. Di samping itu, Volatile yang terdapat dalam Habbatus Sauda juga mampu membunuh bakteria seperti V Cholera serta Eschenchia Coli (E coli).

4. Nutrisi Tambahan Buat Bayi
Sepanjang tempoh pembesaran, pengambilan nutrisi sangat penting buat si kecil terutamanya bayi. Nutrisi-nutrisi ini penting bagi memastikan si kecil sihat dan bebas daripada sebarang penyakit seperti demam, selsema, dan sebagainya. Kandungan Omega 3, Omega 6, dan Omega 9 yang terdapat dalam Habbatus Sauda sememangnya sesuai bagi menjana kesihatan tubuh si kecil sekaligus menjadikan si kecil lebih aktif dan bermaya.

No comments:

Post a Comment

Sudi-sudi..

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...